oleh Hasyuda Abadi, IPS
hasyuda-abadi.blogdrive..com
KETIKA saya berniat menulis sebuah sajak dengan tajuk yang sama, sebenarnya waktu itu merupakan malam yang entah berapa kali saya tercabar. Berulang alik dari tempat kerja tanpa kenal erti sesal, masih di situ juga tumpuan fikiran. Kehidupan ini amat putih rupanya kecuali selepas mendapati pilihan-pilihan kita berada di luar keupayaan, sudah kelihatan warnanya yang lain. Tidak semestinya putih atau hitam atau hijau atau merah atau kelabu dan sebagainya. Saya harus memahami kehendak sahabat baik saya waktu itu. Dia mempunyai hati yang luar biasa. Ada baiknya mungkin, hati ini boleh dibahagi-bahagi seperti kek hari jadi. Ah, semua orang akan mentertawakan saya. Siapalah saya ini, jika tidak kerana sajak-sajak yang sudah tersebar meluas di media dan buku, hanya dikenali sebagai seorang pekerja bawahan, penghuni sebuah rumah sewa yang ala kadar, memiliki sebuah kenderaan terpakai, mempunyai cahaya mata dan isteri seorang. Dan sebagainya, sila baca biodata saya dalam sebuah buku biografi atau layari saja blog saya.
Dalam banyak hal mengenai diri sendiri, saya tidak banyak berubah. Contohnya saya lebih gemar mendiamkan peribadi, sahabat saya yang seorang itu tahu. Meskipun saya selalu didekati sesuatu yang semua orang tidak mungkin memahami tetapi tidak mustahil pernah mengalaminya. Sesekali entah hantu apa yang menggoda fikiran saya memandang pasang surut air laut. Ketika duduk santai di sebuah anjung di ibu kota. Saya melihat manusia yang mempermudah sesuatu. Lebih-lebih lagi manusia yang tidak pernah tegap sifat dan sikap. Mungkin saja saya selalu silap memberikan penilaian. Apa lagi sebuah tanggapan yang secara rambang. Ya, memang saya tersilap memilih kebenaran. Saya memahami kesilapan untuk sebuah penjelasan bahawa memang manusia ego itu sentiasa benar dan menang. Mereka akan menakluk apa saja dan siapa saja. Keegoan manusia itu semakin berkuasa dalam kehidupan apabila ia merasakan bahawa di dalam dunia ini terlalu abadi untuk menenggelamkan kebodohan. Dan mangsanya tentulah mereka yang lemah dan mudah dibodoh-bodohkan.
Saya menjadi begitu serius saat ini. Meneruskan gerak-gerak jari-jemari secara otomatis memadankan huruf-huruf untuk sebuah makna daripada kata-kata yang dialirkan fikiran. Katakanlah saya masih ingin memanjangkan cerita saya tentang sebuah sajak yang berjudul seperti di atas. Sewaktu ramai yang bertanya saya kelihatan masih muda walaupun sudah begitu berusia. Gampang tuan, kata saya, kepada seorang ahli korporat berasal dari Singapura sewaktu bertemu di Tanjung Piai, Johor.
Tulis saja seperti saya tentang apa juga misalnya sajak-sajak romantis. Bukankah dengan menulis itu juga suatu terapi. Ini dibenarkan oleh seorang sarjana pergigian. Fikiran yang kusut selalu mengundang pelbagai jenama penyakit. Hati yang gulana boleh jadikan kita diserang angin ahmar ketika darah mencecah paras kronik. Nah, ini terapinya. Kata doktor itu yang selalu mengadakan persembahan puisi artistik di falkutinya suatu ketika dulu. Tulislah sesuatu yang menggembirakan kita. Mengapa berpayah melayan segala kegusaran.
Terus terang saja ketika berhadapan dengan seseorang yang mengharukan, lahir benih rasa yang seharusnya rahsia. Tidak mengapa sekadar ingin menyatakan rasa kepada seseorang. Tulisan inipun perlu difahami betul-betul justeru hanya akan dibaca oleh orang yang berminat memahaminya. Sewaktu ada yang meluat menelaah tulisan atas nama pena seperti di atas, saya fikir masih ramai juga yang mahu memahami manusia. Inipun terapi.
Saya amat menyenangi seseorang daripada pelbagai orang yang senang bila disenangi. Samalah jika anda memahami begini, saya menyayangi seorang wanita yang kerananya saya mengerti makna cinta yang sebenarnya. Cinta yang luhur yang kaya dengan riwayat kejujuran, kebenaran, ketelusan, keindahan, keindahan dan keindahan. Saya selalu ingin menyatakan sesuatu, ingin menyatakan rasa kasih yang sejati. Namun apakah saya ini benar rasional sambil tidak mengharapkan bahawa ada kebenaran orang yang selalu berkata, seseorang yang sedang mabuk memang begitu. Padahal mabuk selalu juga membawa kebenarannya yang sendiri. Mabuk yang berdiri sendiri. Bukan kerana anggur atau anggunnya seorang yang amat dikagumi. Sepanjang umur saya, subhanallah. Saya dilamun asmaraloka bukan asmara yang luka. Saya ingin memamahinya tanpa mendengar apa-apa lagi tentang citra yang serupa.
Di hadapan saya, pada waktu ini malam pekat, bulan yang sedang mengambang penuh. Saya menjadi putera bulan untuk bulan itu. Tolong jangan tertawakan saya. Ini betul. Saya ulangi, sayalah putera bulan yang menjelma waktu bulan penuh. Sayalah putera bulan yang tak pernah mati di mata semua perempuan yang ingin menyintai saya yang diwarisi nenek moyang saya yang berasal dari bulan yang sekarang sedang mengembang. Genap 15 haribulan, saya benar-benar di hadapan cahayanya. Fantastik. Begitu ajaib. Suhbanallah. Ketika hampir mencapainya, saya mulai sedar malam yang merangkak itu tak kekal. Sifatnya terlalu sementara, bulanpun hanya benda mati yang menumpang belas matahari menempiaskan cahayanya untuk mata yang menumpukan padangannya waktu malam pekat.
Saya mungkin bermimpi. Tapi ada kebenarannya sewaktu memandang bulan yang sama. Di mana juga tempat berdiri dan di atasnya langit. Bulan mengambang penuh. Hanya barangkali saat bulan diselubung awan hitam menjadikan cahayanya berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain walaupun di bumi yang sama. Ada cerita yang sedang bersenandung. Cerita yang diringi alunan muzik kehidupan. Saat mengenangkan peristiwa. Masalalu itu memang manis dan menjadi santapan kenangan. Peristiwa menjadikan kita dewasa, matang diuji zaman. Makna cinta yang berdahan, berdaun dan rimbun, mekar di sepanjang alur kehidupan. Kadang-kadang menjadi lautan yang mengangkatnya sebagai nahkoda, arif arah angin dan tabah digeruni gelora. Masalalu menjadi persinggahan menelaah diri bermuhasabah mencermin batin.
Inikah yang saya fikirkan? Tolong jangan salahkan saya jika anda tidak memahami cerita saya kali ini. Tidak mengapa. Bacalah berkali-kali. Misalnya tiba-tiba fikiran menatang tentang peperangan. Di mana saya saat ini? Helo! Helo! Helo! Benar saya sedang bercerita tentang kasih sayang yang telah musnah akibat peperangan. Sebuah sajak telah berakar dibaja peristiwa-peristiwa menyayat rasa.
Maksud saya peperangan yang boleh mengorbankan berjuta nyawa sesaat. Ini tidak berlaku di dalam sebuah negara yang kehilangan wangi damai. Tetapi peperangan itu tentulah dalam bentuk yang lain. Peperangan di sini sudah tentu tidak menggunakan senjata moden lengkap dengan tenaga nuklear, kereta-kereta kebal, jet-jet pejuang atau penangkis peluru berpandu. Semua ini pernah ditayangkan di kaca TV misalnya semasa perang teluk. Ketika Amerika menyerang Iraq kerana enggan mengikut arahan PBB. Begitu juga perang di Teluk Balkan. Sungguh dasyat. Begitu banyak wang digunakan untuk memusnahkan nyawa manusia dan harta benda, negara malah telah kehilangan maruahnya. Kepala manusia jenis apa ini. Hati mereka juga hati batu. Suara mereka suara hantu. Mereka menjerit di PBB sambil suara mereka begitu didengar. Maka kepala-kepala batu itu menggunakan suara-suara hantu mereka untuk memulakan peperangan. Sekarang ini Israel semakin rakus. Memang sejak berzaman pun, Israel mempunyai kepala-kepala batu belaka. Bukan kelapa manusia malah tetap kebal di dunia! Mereka kebal di bumi orang. Kerana itu bertindak balas terhadap Israel bermakna menyerang bumi orang-orang yang tidak bersalah.
Kasihan. Misalnya, Muhamad Abdul kanak-kanak yang dipaksa mati di sisi ayahnya yang cedera ditembak dengan kejam oleh askar-askar Israel. Seluruh dunia melihat dengan geram. Doa dirafakkan panjang di ruai masjid. Solat hajat berjemaah barusan solat jumaat. Umat Islam seluruh dunia menyatukan perasaan mereka di hadapan kiblat yang sama. Pada saat Islam dinobatkan pengganas selepas peristiwa sebelas sembilan, sambil Isreal dianggap sekadar pelakon-pelakon perang Hollywood yang berang di lokasi penggambaran! Lakonan mereka menjadi box office seluruh pawagam dunia. Memang malang sungguh. Bayangkalah sekali lagi jika ini berlaku di negara yang aman damai. Kehidupan menjadi begitu bermakna. Kebebasan juga bermakna walaupun ada waktunya kebebasan menjadi bahan momokan. Sebagaimana yang pernah dialami suatu ketika yang lain. Orang begitu berani bertanya tentang kebebasan. Kebebasan apa lagi? Dengan nada yang keras, protes yang kurang menjadi tetapi nada itu nada yang keras. Tidak dapat dinafikan. Berlakulah perarakan lorong dan demonstrasi jalan. Namun kehidupan masih seperti sedia kala. Masih bebas membeli belah dengan banyaknya. Dengan wang yang dimiliki, kita bebas memiliki sesuatu yang kita ingin miliki. Apa saja. Rumah yang besar, mewah dan canggih. Kereta yang mewah buatan luar atau dalam negeri. Barangan antik.
Kebebasan tidak ada batasnya. Bersuara juga tidak ada batasnya. Hingga di dewan Parlimen ahli-ahlinya begitu kebal daripada tindakan biasa dan bebas berkata apa sahaja. Oh! Ini suara daripada rakyat, kata mereka yang mewakili rakyat. Suara rakyat mahukan itu dan ini dan harus disampaikan dengan cara begini. Aduhai, jangan ceritakan tentang ini. Yang jelas sekali, kehidupan manusia amat tenteram walaupun kaya dengan dendam dalam diam.
Senyum dan tangis sama sahaja. Tawa dan duka juga sama sahaja. Orang kerajaan menerima gaji yang tinggi. Saban tahun diberikan insentif kewangan untuk berbelanja. Harga minyak meningkat tinggi. Harga barang keperluan juga melambung. Namun seperti tidak ada bezanya sedikitpun. Bezanya cuma dari segi angka dan tentu nilainya. Nilai ringgit hari ini sudah jauh berbeza. Kuantiti barangan juga tidak sama dengan kuantiti yang diterima dengan nilai ringgit yang sama. Masih tidak dapat membezakan baik dan buruk hidup dalam sebuah negara yang aman damai ini.
Analoginya begini: walaupun dilahirkan di sebuah bandar kecil tapi membesar di kota yang pesat membangun. Setiap hari dihadiahkan dua keping roti yang masih panas serta segelas susu lembu. Sebenarnya itu saja. Tapi dia inginkan yang lebih daripada dua keping roti yang masih panas dan segelas susu lembu. Dia mahu roti itu dihancurkan dan susu lembu itu diproses menjadi susu yang lebih nikmat rasanya. Kemahuannya itu sebenarnya tercapai. Semua sekali. Malah lebih daripada itu. Lebih daripada dua keping roti yang masih panas dan segelas susu lembu. Semuanya kini sudah diproses menjadi makanan yang lebih lazat. Apakah anda faham mengapa pemuda ini tidak boleh membezakan antara baik dan tidak baik hidup aman damai. Kerana di sini tidak ada peperangan. Percayakah tidak? Ini puncanya. Kerana tidak ada peperangan yang memerlukan seseorang itu menuntut kemerdekaan. Memerangi penjajah untuk mencapai kebebasan. Hanya orang yang telah melewati zaman perang saja yang memahami perbezaan itu.
Jika ada pendengar mengetahui cerita ini tentu mereka menanti kedatangan saya. Atau pun tidak, tetapi lantas berdiri di atas sebuah meja yang jarang sekali digunakan lalu berkata penuh tanggungjawab bahawa peperangan tidak pernah berhenti. Kemerdekaan juga tidak pernah ada. Suatu pendapat yang jauh lebih mencabar kepercayaan. Keyakinan selalu dicabar pula oleh suatu pandangan yang sama sekali berbeza tetapi benar tentang kemerdekaan itu.
Apakah anda fikir kita sudah merdeka? Apakah makna merdeka yang kita nikmati sekarang ini merdeka? Saya tidak fikir kita tidak pernah merasa merdeka dengan angka itu selain rasa aman, harmoni, tenang, bahagia dan sebagainya lagi tetapi bukanlah merdeka yang berada di dalam. Maafkan saya. Saya benar-benar terhiris kerana rakyat negara ini belum memerdekakan diri mereka daripada pelbagai pengaruh dan penjajahan pemikiran serta budaya hidup yang hindonis! Yang lebih hanyalah semangat. Semangat yang membara tetapi pernah anda berfikir semangat yang berlebihan tanpa penghayatan tidak mampu melahirkan jati diri yang teguh untuk mencintai sesuatu. Negara kita memang sudah merdeka hampir setengah abad. Saya hanya tersenyum apabila menjelang perayaan kemerdekaan.
Jalur gemilang itu bagaikan harta bangsa yang tidak bernilai langsung! Apakah anda juga gemar meletakkan bendera kecil di atas kereta anda? Sayang sekali kerana kebanyakan orang tidak pernah menghargai bendera itu apabila ia terjatuh. Dan, kita yang mendapati bendera itu terkapar di atas jalan raya tidak pula mengutipnya dan menyimpan selanyaknya sebagai bendera negara yang dihormati. Inilah natijahnya apabila hanya semangat semata-mata tanpa penghayatan mengapa kita digalakkan mengibarkan bendera di mana juga.
Kita juga belum merdeka kerana dalam kehidupan kita seharian asyik didedahkan dengan hiburan yang keterlaluan. Media-media berlumba-lumba menimba keuntungan dan menyumbat di mata bangsanya dengan pelbagai hidangan yang tidak memberikan keuntungan moral, ilmu dan juga maruah. Saudagar teknologi komunikasi pula menjual manusia-manusia dengan kehidupan murahan mereka di hadapan manusia sebangsanya. Malah telah menempatkan maruah bangsa Melayu jatuh dengan pemaparan kehidupan orang Melayu yang kacau bilau, porak poranda, dengki khianat, puji keji perli dan sebagainya lagi. Bangsa kita terlalu mudah melatah. Mereka bercakap tanpa pedoman, arah dan hala tuju. Mereka terlalu gemar berkata, memberikan pandangan yang tidak berguna. Entahlah mengapa ada manusia Melayu merapu di Parlimen. Apakah tidak ada kemerdekaan untuk mereka ini. Ada, iaitu kemerdekaan untuk bercakap, melakukan cara hidup yang berlebih-lebihan, memperaga kekayaan, mempamerkan keegoan... Kemerdekaan ini bukan kemerdekaan yang sebenarnya. Kemerdekaan ini hanya semangat. Semangat yang sarat dengan api amarah, benci, khianat, iri hati, bangga yang keterlaluan dan ego. Kita telah berdosa dengan bangsa kita? Anda percaya?
Saya sedang mendalami suatu perasaan yang selalu mencabar naluri menyelesaikan sesuatu yang sukar. Maksud saya sebuah sajak tentang judul di atas yang sebentar lagi akan jumud daripada fikiran. Namun saya mempunyai kekuatan tersendiri untuk mengurus setiap kata menjadi bait-bait atau frasa-frasa yang bersimpul makna. Jangan risau kerana saya tidak akan menjadikan anda susah, contohnya mencari makna yang berselindung di sebalik kata-kata yang hanya saya fahami. Jika ada persoalan jangan tutup pintu rumah untuk melangkah keluar. Bersuaralah di hadapan jambatan kasih sayang yang terbentang tirus. Kecuali satu yang tidak harus ditanyakan: mengapa saya pilih tajuk itu.
Hak Cipta Terpelihara
© Hasyuda Abadi, 2002 - 2006