Sastera Sabah masih ketinggalan
Oleh Azman Ismail
|
|
|
SUKOR Usin (kanan) bersama Poul Nanggang (paling kiri) bersama pengerusi majlis pada Dialog Borneo-Kalimantan Ke-IX, 2007 di Bandar Seri Bagawan, Brunei Darussalam, baru-baru ini.
|
KEMAJUAN Sabah dalam bidang ekonomi, sosial dan integrasi etnik yang merangkumi kepelbagaian budaya tidak dapat dinafikan. Ia meletakkan negeri itu dalam zon selesa bukan hanya kepada rakyat tempatan tetapi juga warga asing.
Namun, sangat disayangkan apabila perkembangan sasteranya tidak serancak bidang-bidang lain. Hanya segelintir pencintanya yang terus mempertahankan kelangsungannya walaupun mereka sedar sastera tidak menjanjikan apa-apa.
Di tangan kelompok ini, pelbagai program pembinaan dan pemugaran karya sastera dipertingkatkan. Bengkel-bengkel dan majlis pengkaryaan dilaksanakan di seluruh negeri itu secara tetap.
Tindakan seperti itu berjaya memastikan generasi sastera di negeri itu sentiasa berganti walaupun dalam skala yang agak mendukacitakan. Namun setidak-tidaknya rantai kepengarangan mereka tidak terputus.
Bagaimanapun, mungkin dunia kesusasteraan Sabah agak malang jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain secara umum kerana kedudukan kemudahan, dana dan penerimaan khalayak yang terhad.
Mungkin lintasan geografi dan faktor komunikasi dalam aspek kegiatan sastera yang berpusat di Semenanjung juga menjadi penyebab sastera di negeri itu agak malap.
Di sisi lain, para peneliti sastera kurang memberi perhatian kepada karya-karya penulis negeri itu khususnya dan Borneo termasuk Sarawak secara umum. Bukan itu sahaja, malah ada pengarang-pengarangnya yang tidak tersenarai dalam kelompok penulis Malaysia.
Bagaimanapun, sastera Sabah tetap terasa denyutan nadinya sama seperti sastera Sarawak, Kalimantan dan Brunei Darussalam walaupun tidak sehebat negeri-negeri itu.
Timbul pertanyaan, apa sebenarnya masalah dan permasalahan sastera Sabah? Adakah faktor kemudahan dan dana yang membelenggu perkembangannya?
Unsur-unsur negatif
Selain faktor globalisasi, sastera Melayu di negeri itu juga terpaksa berhadapan dengan perkembangan budaya popular yang disertai oleh banyak unsur-unsur negatif.
Lambakan bahan-bahan bacaan popular seperti majalah-majalah atau novel pop memberikan saingan hebat yang membantutkan pertumbuhan citarasa sastera dan budaya membaca yang pintar.
Penggiat sastera negeri itu, Sukor Usin ketika memperkatakan tentang cabaran sastera Sabah pada Dialog Borneo-Kalimantan Ke-IX di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam baru-baru ini berkata, beberapa kelemahan dalam pengurusan sastera dapat diatasi. Antaranya penerbitan dan pemasaran karya.
Selain itu, daya kreativiti dan pengetahuan dalam pelbagai disiplin ilmu perlu dipertingkatkan untuk menghasilkan karya dalam semua genre yang lebih bermutu serta berwibawa.
Bagaimanapun, aspek dana dan bantuan lain untuk penerbitan tidak dapat dikesampingkan. Malah, ia cukup penting untuk memastikan sastera negeri itu terus berdenyut.
"Kita memerlukan perkembangan dunia kritikan yang baik dan sihat. Bukan tidak ada usaha pembinaan berkaitan bidang itu namun, cabarannya ialah kemampuan para penulis yang membabitkan diri.
"Dalam pada itu, untuk menganjak sastera Sabah lebih ke depan, kita akui masih memerlukan bimbingan dan bantuan daripada pelbagai pihak. Peranan komuditi penulis, agensi-agensi kerajaan serta media perlu digemblengkan," kata Sukor.
Mungkin agak mendukacitakan, Sabah sangat berpotensi untuk melahirkan penulis dan karya besar kerana kemajmukan etniknya selain kepelbagaian tema yang ada.
Namun, seperti kata Sukor, ketiadaan penggiat akibat hambatan-hambatan kemudahan, dana dan dorongan telah menyebabkan sastera Sabah agak ketinggalan dengan jiran-jirannya di Borneo termasuk Sarawak.
Begitu juga dalam genre teater. Ia juga sangat mendukacitakan kerana masalah dana dan kemudahan untuk pementasan begitu kurang hingga menyebabkan jumlah produksi setiap tahun terlalu sedikit.
Faktor dana yang kecil menyebabkan pementasan teater menjadi aktiviti ala kadar dan dalam sesetengah hal ia bertaraf asal jadi. Persembahan tidak lagi mengambil kira kualiti.
Persoalannya ialah sampai bila pementasan yang seadanya itu akan terus membudaya dalam kegiatan seni dan budaya di Sabah itu ketika aktivis teater di negeri-negeri lain berada dalam zon yang selesa?
Sebagai aktivis seni, Sukor melihat ia sebagai satu dilema. Dalam erti kata lain, tidak mungkin membiarkan seni pentas di negeri itu terus berkubur sedangkan masih ada khalayaknya tetapi pada masa yang sama mereka menghadapi masalah kewangan dan sebagainya.
Dibanggakan
Seorang lagi, aktivis sastera Sabah, Jasni Matlani berpendapat, meskipun dunia kreatif negeri itu serba kekurangan, masih ada sisi yang boleh dibanggakan iaitu perkembangan puisi-puisi Islam.
Ia dikatakan bermula sejak awal 1980-an sempena program Malam Pengucapan Puisi Berunsur Islam yang dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuk Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEINS).
Program yang kemudiannya ditukar nama kepada Mahrajan Sastera Islam menjadi acara tahunan dan hingga 2005 ia berjaya menghasilkan lebih 18 antologi puisi Islam.
Perkembangan baru dalam kesusasteraan Sabah itu turut mempengaruhi penerbitan puisi berunsur Islam di media-media massa negeri itu seperti WADAH, Buletin Jendela Sabah, akhbar Kinabalu Sabah Times dan Daily Express.
"Bagaimanapun tetap ada hambatan dalam perkembangan ini kerana masalah kemudahan dan dana yang sangat terhad untuk mengadakan program-program sastera berunsur Islam lain.
"Mahu atau tidak kita terpaksa mengharapkan bantuan pihak yang sudi menghulurkan bantuan. Kalau tidak ada terpaksa melaksanakan program yang semampu mungkin sahaja," jelasnya.
Sementara itu, aktivis sastera Sarawak, Poul Nanggang yang memperkatakan kumpulan puisi Membentuk Elok Di Teluk Esok karya Abizai (Zainal Abidin Suhaili) melihat, Kalimantan mampu berkembang sebagai pusat kesasteraan Melayu.
Abizai sendiri merupakan salah seorang penulis Sarawak yang berjaya bukan hanya di peringkat negeri tetapi juga nasional. Himpunan puisi itu sendiri pernah meraih hadiah utama kategori Kumpulan Puisi di Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Ini kerana Kalimantan termasuk Sabah mempunyai kerencaman etnik, sosiobudaya dan bahasa suku kaum yang berbeza selain kekayaan historisnya.
Elemen-elemen tersebut mampu diangkatkan dan dikupas dalam wacana fiktif yang kuat dan sangat menarik seperti yang diketengahkan oleh Abizai dalam kumpulan puisi itu.
Namun, faktor komunikasi, dana dan sokongan menyebabkan elemen-elemen itu gagal digali secara maksimum untuk diterjemahkan ke dalam karya sastera.
"Abizai sangat bertuah dalam hal ini. Beliau mempunyak kreativiti dan kesungguhan untuk menggali semua aspek dan diadaptasi ke dalam puisi hingga menjadikan karya-karyanya sangat kuat.