(i) Saya fikir ini adalah skandal terbesar negara ketika ini. Barangkali lebih provokatif daripada isu filem panas si mantan Menteri Kesihatan. Setidak-tidaknya, perbuatan si menteri itu hanya mencemar moral dan kredibiliti sendiri. Ia bukan satu kebinasaan akhlak yang berjangkit. Dari satu generasi ke satu generasi.
(ii) Kemelut KOMSAS ini sangat kritikal. Ia bukan lagi bersifat dosa peribadi. Ini adalah jenayah intelek yang bakal menjadi kudis kepada pemikiran generasi muda akan datang (khususnya pelajar). Ia barangkali akan turut meracuni anak-anak kita (atau orang-orang yang kita sayangi). Mujur ada aktivis-aktivis muda macam Nisah Haron dan Faisal Tehrani. Yang begitu berani `melawan arus'. Mereka tidak gentar melawan kerana bagi mereka, kerja penulisan mereka adalah cinta pertama. Bukan periuk nasi semata-mata.
Tidak seperti kebanyakan penulis Sabah, yang secara sinis sering dicuit oleh Hasyuda sebagai `pendiam yang elegan'. Atau bolehkah saya kata: penikus yang berhati mulia? Golongan pejuang yang rela menjadi kerbau tunggangan para teraju `establishment'. Ya, dalam banyak isu dan kemelut sastera (sama ada negeri, nasional atau serantau) kita lebih suka meminggir diri. Tidak berani mahu mengaum, apatah lagi untuk mencakar. Bahkan, mau mengeluh pun masih bertapuk-tapuk.
Gentar sangatkah kita kehilangan periuk nasi yang tidak seberapa itu? Atau pemikiran kita sendiri masih begitu dangkal untuk menjangkau persoalan-persoalan seperti ini? Beberapa bulan dulu, saya mendapat `sms' daripada Hasyuda yang nadanya begitu sayu dan menghibakan. Saya mengerti dan sangat simpati dengan pergolakan rasa yang beliau alami. Tapi apalah daya untuk membantu. Ini adalah soal menentang `budaya pincang' yang sudah lama tumbuh utuh. Bukan soal mahu memerangi seorang dua individu!
Kekecewaan Hasyuda (yang saya anggap seorang pejuang sastera paling idealis dan tegar di Sabah!) mengundang satu pertanyaan. Mentaliti khalayak pejuang sastera/bahasa di Sabah, bilakah akan berubah? Atau, siapakah yang harus ditunggu untuk mengubahnya? Kita semua adalah manusia. Bukan peralatan yang boleh dioperasikan secara paksa macam mesin mekanikal. Anjakan harus datang dari hati sendiri. Bukan dari provokasi luaran.
(iii) Skandal KOMSAS ini bukan hanya hangat kerana ia terang-terang menghina Sasterawan Negara dan para aktivis sastera tulen (yang karyanya sudah diiktiraf mengikut piawai kualiti kesusasteraan). Yang lebih menjerihkan adalah pilihan dayus kumpulan penilai yang sungguh muka-tak-reti-malu itu. Mereka mengangkat karya-karya pop sebagai teks rujukan sastera di sekolah, dan mereka dengan bangga menguar-uarkan keputusan itu sebagai sangat tepat.
Wah, selepas lebih 50 tahun Malaya merdeka (dan Malaysia Timur juga sama-sama menumpang kendera kemerdekaan itu beberapa tahun kemudian), kenapa kita tiba-tiba melangkah beberapa tahun ke belakang? Saya fikir orang putih di United Kingdom pun akan meludah muka kita dengan penuh jijik kerana tindakan yang sungguh bengap ini!
Kalau hal-hal yang glamour, kita sangat berahi mahu mengikut dan meniru gaya mantan penjajah kita (yang memang diakui tamadunnya telah mencapai fasa moden 200 tahun lebih awal berbanding kita). Mereka mahu ke angkasa, kita pun gatal bergolak bergadai mahu ke sana. Bila orang putih mahu belayar keliling dunia, atau mahu jadi gila meroyan ingin ke kutub utara (yang tiada apa-apa kecuali gurun tundra yang tandus!), atau mahu berenang merentas Selat Inggeris -- kita juga tak mahu ketinggalan. Habislah duit rakyat (baca: hasil caruman kita semua sebagai para pembayar!) dibelanja untuk mencari glamour dunia atas nama `Malaysia Boleh'. Huh, kononnya!
Malangnya, dalam soal intelektualiti, kita tak pula pandai meniru perkara yang baik-baik. Orang putih begitu bangga menggunakan teks Shakespeare sebagai rujukan sastera di sekolah. Kita pula terkinja-kinja beruk mahu mengangkat karya-karya pop hasil tangan para penulis picisan. Alasannya? Karya-karya sastera yang berkualiti kononnya dianggap berat dan sarat dengan pemikiran. Justeru, ia membantutkan minat para pelajar untuk memesrai sastera. Sebab itu lebih bagus pakai karya-karya sastera yang berciri agak ke-Mangga-an atau ke-UTRTV-ian.
Wah, sungguh senang memberi alasan. Begitu mudah pula memberi penyelesaian. Ibaratnya begini: anak-anak saya tidak begitu minat mahu makan. Mau disuap makanan pun mereka rasa begitu berat dan susah. Jadi, untuk menyelesaikan masalah -- maka saya sogok mereka dengan makanan-makanan pop `junkies' seperti MacDonald, KFC dan Pizza Hut. Apa gunanya dapat menambah minat makan (anak-anak) dan memudahkan kerja (ibubapa) jika kita terpaksa mengorbankan nilai khasiat dan zat pemakanan?
(iv) Kita tertanya-tanya. Bodoh totok sangatkah anak-anak bangsa Malaysia (sampai tak boleh mengapresiasi karya A. Samad Said atau Faisal Tehrani) dibanding dengan anak-anak orang putih (yang begitu gigih menekuni karya Shakespeare)? Sepatutnya ahli-ahli JK Penilai itu harus berfikir: kenapa mereka di Barat tidak gunakan karya-karya pop best-seller seperti Jeff Archer, JK Rowling, Sidney Sheldon sebagai teks rujukan sastera? Tentunya kerana mereka sedar ia tidak mengandungi elemen dan nilai kesusasteraan yang wajar diterapkan kepada generasi muda di sekolah.
Ini bukan soal anti karya-karya pop. Bukan. Tapi sastera adalah sastera. Sebagai satu bentuk disiplin ilmu dan pendidikan, sastera itu harus diberi definisi yang khusus. Bukan sekadar mengambil jalan mudah bahawa semua tulisan kreatif itu layak digelar manuskrip kesusasteraan. Macam Matematik juga. Kita tidak boleh suka-suka menggariskan domain subjek ini dengan mengatakan bahawa semua bentuk pengiraan itu layak jadi komponen pengajaran Matematik. Kita mesti pertimbangkan kewujudan elemen kalkulus, algebra, statistik dan seumpamanya.
Begitu juga dengan subjek kesusasteraan. Susah atau senang, bukan alasan untuk lari dari hakikat dan tuntutan. Semata-mata kerana mahu menambah minat pelajar, kita tak boleh sewenang-wenang `mempermudahkan' (atau lebih tepat, memperlekehkan) silibus sastera. Teks sastera haruslah mengandungi komponen pemikiran, nilai, falsafah dan estetika (dari segi struktural dan persembahan) pada kuantiti dan tahap tertentu. Kalaupun kita dapat (ya, saya kata KALAU!) menambah minat pelajar melalui penggunaan karya pop, itu tidak memberi sebarang makna. Apa gunanya wujud percambahan minat, jika ia dicapai dengan cara melacurkan nilai-nilai sastera dalam silibus.
Ya, kita semua memang sedar. Wujud masalah dari segi kandungan `yang berat dan sarat dengan pemikiran'. Tapi, ini bukan hanya berlaku secara esklusif dalam subjek sastera. Ia juga turut berlaku dalam matapelajaran lain (Matematik, sebagai contohnya). Bolehkah kita tingkatkan minat dalam subjek Matematik dengan menjadikan silibus matapelajaran ini `lebih mudah dan berciri pop'? Misalnya, dengan cara menggugurkan elemen kalkulus, algebra dan statistik yang sangat `sarat' dan berat itu. Kita cuma ajar elemen-lemen pop yang digemari oleh anak-anak muda, seperti pengiraan campur-tolak-bahagi. Bolehkah?
Bukan saja tidak boleh. Malah, ia tak pernah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan. Anehnya, ia berlaku pula dalam KOMSAS. Bila pelajar kurang berminat dalam Matematik dan ramai yang menganggap ia subjek yang susah maka, para guru disaran supaya meningkatkan kemahiran mengajar. Gunakan teknik pengajaran yang lebih interaktif dan kreatif.
Habis, dalam sastera kenapa tidak disaran supaya guru-guru membawa bentuk pengajaran yang lebih stimulatif dan inovatif demi meningkatkan minat para pelajar terhadap komponen sastera? Sudahnya, silibus dan pilihan teks pula yang dipersalahkan. Kes KOMSAS ini, ibaratnya kita tak berapa reti menari. Tapi kita pula pandai-pandai menyalahkan lantai dan meminta supaya lantai itu ditukar.
Ini tak akan menyelesaikan masalah!
(v) Saya tidak fikir isu seperti boleh menarik minat para aktivis sastera di Sabah. Sama ada kelompok kita di Bawah Bayu ini secara naturalnya memang suka menjadi pendiam yang menikus; atau kita sengaja malas berfikir. Ramai kalangan kita barangkali akan berfikir begini: kenapa mahu beratkan minda dengan persoalan dan kemelut ini? Lebih baik saya menulis hal-hal yang boleh memberi pulangan materi. Yang boleh mengisi perut.
Ya, suatu masa dulu dilema ini telah dibahaskan dengan begitu hangat. Menulis untuk apa material atau kepuasan? Menulis untuk pulangan materi tiada salahnya. Tapi, hidup ini bukan segala-galanya hanya berkisar aspek fizikal dan keperluan organik. Kita juga ada jiwa dan rasa yang harus diisi dengan prinsip dan idealisma.
Kalaupun bukan setiap hari, paling kurang sekali-sekala.
SAYA dilahirkan di tangan Bi' Susur - bidan kampung ketika masyarakat Sabah masih di bawah era British North Borneo Company. Ayah suku kaum Murut Tenom, Sabah sementara ibu suku kaum Jawa daerah Beaufort. Saya bergelar 'abang tua', 'pak tua' dan 'atuk tua' kepada lima adik - seorang lelaki dan empat perempuan, 18 anak-anak saudara dan seorang cucu. Latar awal kehidupan kecil, dibesarkan dalam kawasan perladangan getah (Lumadan Estate) dan terdedah dengan aktiviti seni pementasan bangsawan, sandiwara, persembahan kugiran dan tarian di tempat kelahiran yang dipergiat oleh para pendidik sekolah dan warga ladang. Sila Klik Kelanjutannya
SENARAI PENERBITAN BUKU HA Antologi Puisi Bersama
1] Sematan (GPPS, Sarawak 1984) 2] Titian Rindu (DBP Sabah, 1987) 3] Kekasih (DBP Sabah/MUIS, 1987) 4] Perubahan (DBP, 1988) 5] Siapakah Antara Kita (DBP, 1988) 6] Ujana Laut Ujana Hati (DBP Sabah/MUIS, 1989) 7] Mengenang-Mu (DBP, 1989) 8] Nyanyi Dari Desa (BAHASA/ANAK SENI, 1990) 9] Perkasihan Musim (DBP Sarawak, 1992) 10] Luka Bosnia (BAHASA, 1992) 11] Al-Kahfi (DBP Sabah/MUIS, 1992) 12] Kiswah Rindu (DBP Sabah/MUIS,1993) 13] Nafas Utara Borneo (DBP Brunei, 1994) 14] Qiam (DBP Sabah/MUIS, 1995) 15] Kafilah (DBP/MUIS, 1996) 16] Mujaddid (DBP Sabah/MUIS, 1997) 17] Tasbih Rindu (DBP Sabah/MUIS, 1998) 18] Penyair, Alam dan Kemanusiaan (DBP, 2000) 19] Antologi Puisi Cyber: Graffiti Gratitude (Yayasan Multimedia Sastera, Bandung, Indonesia, 2001) 20] Sapaan Bonda (DBP Sabah/MUIS, 2002) 21] Iktikaf (DBP Sabah/MUIS, 2003) 22] Nyanyian Iman (DBP Sabah, 2004) 23] Nyanyian Pulau-Pulau (DBP Sarawak, 2004) 24] Antologi Puisi Sufi: Cinta Pohon Tamar (Jahabersa Johor Bahru, 2004) 25] Hadrah Cinta (DBP Sabah, 2005) 26] Manuskrip Luka Bangsa (PENA, 2006)
Rantau Utara, (DBP Brunei, 1989) Ibrah (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, 2003)
Antologi Skrip Drama Pentas
Unduk Ngadau, (DBP, 2005)
Antologi Kertas Kerja
Idealisme & Intelektualiti dalam Karya (PENA, 2005)
TEGAK RUMAH KERANA SENDI
RUNTUH SENDI RUMAH BINASA
SENDI BANGSA IALAH BUDI
RUNTUH BUDI RUNTUHLAH BANGSA
BUKU-BUKU PUISI HA
PUSTAKA IQBAL NAZIM (Koleksi HA)
Di bawah ini buku-buku Guru dan Idolaku...
Bersama mama dan bapa (1962)
AKTIVITI HA
19 APRIL 2008: MESYUARAT AGUNG IPS KE-17 26 APRIL 2008: ZIARAH SASTERAWAN: DATUK HJ SHUHAIBUN YUSSUF 27 APRIL 2008: SEMINAR PEMIKIRAN AMIL JAYA 30 APRIL 2008: TAKLIMAT PENGHAYATAN SASTERA DAN BUDAYA 2 MEI - 4 MEI 2008: PROGRAM PENGHAYATAN SASTERA DAN BUDAYA DI KEM KUBENA SIPITANG [Dibatalkan] 5 MEI - 6 MEI 2008: PROGRAM PENGHAYATAN SASTERA DAN BUDAYA DI KEM TANAKI TAMBUNAN 7 MEI 2008: MENYAKSIKAN MALAM CITRA PUISI PPSB DI KEM WAWSAN KG OVAI PAPAR 6 JUN 2008: MAJLIS PENUTUPAN PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA SIRI 2/2008 DI KEM TANAKI TAMBUNAN 21 JUN 2008: CERAMAH KOMSAS DI SMK MEMBAKUT, SABAH 18 JULAI 2008: CERAMAH KOMSASM DI SMK NARINANG KOTA BELUD 25 - 28 JULAI 2008: LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE BALI INDONESIA
CERPEN HA ['Link'nya sedang dibina, maaf]
Memilih Diam
Kepala-Kepala Ekor Seberkas Idea Tentang Pohon Debu, Besi dan Sebuah Kebosanan Dicitrakan Tentang Sesuatu yang Melompat Bagai Dedalu Citra Tidak Berakhir di Sini Hanya Namanya Khartizah Sahabat Saya yang Hilang Seniman
Maruah Harith Jambatan Terbentang Tirus