Selepas membaca sebuah wawancara dengan Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Luar Negara tentang 'Konflik antara Realiti Sastera dan Persepsi Politik', saya menyimpulkan bahawa banyak peluang terbentang di hadapan masyarakat yang 'bergelar'. Sebab itu saya kata beruntung pemimpin kita bila ia juga seorang sasterawan. Ada 'kemudahan' dan kemampuannya dalam banyak segi. Suaranya didengar. Kata-katanya dikutip dijadikan panduan dan landasan. Ada peluang menempatkan tulisannya dalam fikiran pengurusan sastera tanah air. Ada kemudahan cetak. Ada dana untuk penyebaran dan sebagainya. Tentu anda faham maksud saya.
Bagi sasterawan biasa walaupun telah dikenal dan terkenal tidak akan menerima kemudahan seumpama itu kerana tidak berada dalam golongan 'bergelar'. Mereka yang kurang rajin mengumpul karya eceran masing-masing tentu akan menanti buah yang tak jatuh. Apa lagi musim buah yang gugur sendiri sudah tidak boleh dipakai zaman ini. Perlu ada cara mencari peluang dan ruang. Ada waktunya melutut mohon kasihan. Melukut di siring gantang. Menebalkan muka. Membina ayat terindah mohon perhatian. Biar bagaimanapun besar niatnya seperti yang terkandung dalam intipati karya sasteranya tidak mungkin semudah seorang yang 'bergelar' memiliki nikmat yang saya maksudkan kerana peluang telah ada di hadapannya.
Inilah antara yang terpapar dalam fikiran ketika memandu setiap hari ke pejabat berlegar dalam kepala, setiap hari lalu bangunan sastera dan bahasa, terbentang dalam fikiran sastera kita akan menjadi apa. Mengangkatnya tidak lagi semudah membina ratusan makalah atau kertas kerja yang dibentangkan dalam ratusan seminar, diskusi, nadwah dan pelbagai program berkaitan. Sastera hanya menjadi kesayangan para sasterawan itu sendiri. Kerana itu usaha yang berganda perlu diteruskan tanpa henti, bersungguh-sungguh bukan asal jadi, iltizam yang tidak sedikit walaupun perlu mengorbankan wang dan masa. Di sini perlunya sifat kesukarelaan yang memang amat kecil di kalangan masyarakat.
Jika anda tahu, sasterawan juga yang telah berhempaspulas melahirkan karya besarnya, tidak menerima imbalan yang setara terutama di Sabah, sebagai contoh ada yang hanya dibayar RM30 untuk sebuah puisi untuk majalah sastera 'edaran percuma'. RM50 untuk cerpen. Dan itupun ada juga masanya kerana terlepas pandang tidak menerima sebarang bayaran. Namun bagi penulis yang bernasib baik yang boleh lepas di majalah berprestij seperti Dewan Sastera akan menerima hono yang agak baik serendah RM200 untuk puisi (tanpa mengira jumlah baris). Begitu juga penerbitan buku, selalunya bakal dimiliki oleh segelintir insan yang bernasib baik. Bersyukurlah kerana saya antaranya, itupun tidak semudah itu. Jika tidak disebabkan ada pengurus sastera yang komited, saya fikir saya juga akan menjadi mangsa keadaan sebagaimana yang dialami sahabat-sahabat saya yang terdahulu. Namun begitu, biasanya penerbitan buku kita di Sabah akan terhenti bila ada di kedai buku, selepas diadakan majlis perlancaran (ada juga yang tidak dilancarkan?). Bermula dari situ, buku itupun menjadi 'koran buruk'. Siapakah yang mahu membeli buku puisi? Berlambak di kedai buku, anda tahu sendiri, baik puisi, novel atau buku-buku bacaan kanak-kanak dan remaja. Saya pernah juga berkata (tentu penulis-penulis lain juga) mengapa buku-buku sastera penulis kita tidak dipanjangkan dengan cara yang lebih meluas seperti diskusi atau serasehan buku? Memang betul isu ini lapuk, hanya saya saja yang tidak pernah mahu melapukkannya. Apakah mahu menunggu ada kesanggupan organisasi berkaitan tampil? Apakah kerja para pengurus sastera kita di bangunan besar itu?
Maafkan saya, kerana memang tidak mudah menganjurkan program sastera. Siapa bah yang mahu hadir. Maunya ada selibriti hadir dan membicarakan karya sastera kita agaknya. Jemput Ras Adiba. M.Nasir, Suhaimi Baba... barangkali barulah ada yang datang. Tapi ini mustahil, sastera sudah selalu disalah erti. Padahal karya sastera bakal menunjangkan ilmu yang amat mendalam untuk membentuk manusia, untuk membantu kita menegapkan jati diri manusia yang memahami fungsinya yang sebenar. Ada penulis memberi anologi hayat sastera kita bagaikan LRT dan Kereta Sport atas dasar penerimaan masyarakat yang tidak seimbang. Ini ditambah lagi dengan penilaian mereka yang diberikan amanah dalam penyediaan bahan-bahan sastera untuk kajian anak-anak kita di sekolah yang tidak berpijak pada aliran yang betul. Meletakkan kepincangan minda yang buntu kepada generasi yang bakal menjadi agen pembangunan insan seterusnya pada abad-abad mendatang. Kadang-kadang terfikir juga apakah tindakan Pak Samad dan Dr Lim Swee Tin betul sebagai protes dalam isu KOMSAS? Mungkinkah ini satu kekalahan kita sebagai pendukung sastera itu padahal ktia boleh melakukan sesuatu yang lebih murni melalui badan-badan penulis, NGO atau agensi-agensi berkaitan seperti DBP. Aakhirnya orang luar menilai para sasterawan itu sebagai jumud berbanding sepatutnya bangun mencari jalan semurni mungkin. Ya, sasterawan seagung Pak Samad atau Dr. Lim (mungkin sentimennya beliau dari etnik bukan Melayu) tentulah menjadi besar dan gah. Kata-kata mereka didengar dan diambil perhatian. Orang 'bergelar'lah dikatakan.
Saya terhibur dengan sebuah tulisan Dato' Baha Zain dalam Dewan Sastera Februari -sekurang-kurang memberikan penilaian terbaik bagaimana anak-anak kita harus diajar di sekolah. Tiada bersalahan memberikan ilmu kepada anak-anak dengan pendekatan sains dan angka tetapi 'kita juga memerlukan bahan bacaan yang membijaksanakan, bangunan serta lanskap yang indah, muzik dan nyanyian yang sedap didengar...' Nilai adab, akal budi, kehidupan bermasyarakat tentu tidak dapat diraba atau diukur sebagaimana kita mengukur harga sebuah kereta sport atau banglo.
Kita amat jarang berbicara secara akrab dan dekat yang bersemuka kerana seperti kurang diterima berbanding dengan program-program ala hiburan atau berbentuk pesta yang lebih kepada membuang masa dan wang. Ini pun jika ada mahluk bernama manusia yang mempunyai fikiran yang besar, yang tidak duduk berfikir di bilik pejabatnya bagaimana mahu menghabiskan dana yang ada yang bakal memberikan kebaikan organisasi dari sudut kejayaan sementara tetapi tidak melahirkan faedah yang menyeluruh kepada masyarakat. Jika konsep SDC (Koridor Pembangunan Sabah) mahu dijadikan asas pembangunan minda dan insan di kalangan masyarakat yang celek budaya dan sastera, saya fikir kita juga akan memulakan agenda ini daripada perspektif yang lain. Pembangunan insan sering diperkatakan, SDC juga bakal menjadi prasarana ke arah yang sama. Kemudian pelancongan, apakah peranan pihak-pihak yang berkaitan dengan budaya dan sastera itu misalnya, menjadikan Bandar raya Tropika Kota Kinabalu ini sebagai pusat kebudayaan dan sastera di rantau Borneo. Banyak aktiviti boleh dilakukan. Sebelum ini pun begitu kerap dianjurkan pesta yang bertaraf dunia di bandar raya ini. Sastera kita bagaimana? Membudayakan masyarakat dan menjadikan budaya membaca bahan-bahan sastera tinggi harus ditangani dengan sesungguhnya. Kita memang punya pemula yang ramai, pemimpin yang celek sastera dan budaya bukan sedikit. Tetapi begitupun yang menjadikannya kecil ialah disebabkan nawaitu yang belum mampu dijelaskan, melainkan jika apa yang dilakukannya itu memberikan sesuatu 'makna' kepada kehadirannya. Inilah masalah yang berjela sejak lama dan telah pun menjadi budaya masyarakat kita. Nilai kesukarelaan itu tidak dijadikan budaya dalam kehidupan.
Posted at Thursday, February 07, 2008 by Hasyuda Abadi (HA)
SAYA dilahirkan di tangan Bi' Susur - bidan kampung ketika masyarakat Sabah masih di bawah era British North Borneo Company. Ayah suku kaum Murut Tenom, Sabah sementara ibu suku kaum Jawa daerah Beaufort. Saya bergelar 'abang tua', 'pak tua' dan 'atuk tua' kepada lima adik - seorang lelaki dan empat perempuan, 18 anak-anak saudara dan seorang cucu. Latar awal kehidupan kecil, dibesarkan dalam kawasan perladangan getah (Lumadan Estate) dan terdedah dengan aktiviti seni pementasan bangsawan, sandiwara, persembahan kugiran dan tarian di tempat kelahiran yang dipergiat oleh para pendidik sekolah dan warga ladang. Sila Klik Kelanjutannya
SENARAI PENERBITAN BUKU HA Antologi Puisi Bersama
1] Sematan (GPPS, Sarawak 1984) 2] Titian Rindu (DBP Sabah, 1987) 3] Kekasih (DBP Sabah/MUIS, 1987) 4] Perubahan (DBP, 1988) 5] Siapakah Antara Kita (DBP, 1988) 6] Ujana Laut Ujana Hati (DBP Sabah/MUIS, 1989) 7] Mengenang-Mu (DBP, 1989) 8] Nyanyi Dari Desa (BAHASA/ANAK SENI, 1990) 9] Perkasihan Musim (DBP Sarawak, 1992) 10] Luka Bosnia (BAHASA, 1992) 11] Al-Kahfi (DBP Sabah/MUIS, 1992) 12] Kiswah Rindu (DBP Sabah/MUIS,1993) 13] Nafas Utara Borneo (DBP Brunei, 1994) 14] Qiam (DBP Sabah/MUIS, 1995) 15] Kafilah (DBP/MUIS, 1996) 16] Mujaddid (DBP Sabah/MUIS, 1997) 17] Tasbih Rindu (DBP Sabah/MUIS, 1998) 18] Penyair, Alam dan Kemanusiaan (DBP, 2000) 19] Antologi Puisi Cyber: Graffiti Gratitude (Yayasan Multimedia Sastera, Bandung, Indonesia, 2001) 20] Sapaan Bonda (DBP Sabah/MUIS, 2002) 21] ‘Iktikaf (DBP Sabah/MUIS, 2003) 22] Nyanyian Iman (DBP Sabah, 2004) 23] Nyanyian Pulau-Pulau (DBP Sarawak, 2004) 24] Antologi Puisi Sufi: Cinta Pohon Tamar (Jahabersa Johor Bahru, 2004) 25] Hadrah Cinta (DBP Sabah, 2005) 26] Manuskrip Luka Bangsa (PENA, 2006)
Rantau Utara, (DBP Brunei, 1989) Ibrah (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, 2003)
Antologi Skrip Drama Pentas
Unduk Ngadau, (DBP, 2005)
Antologi Kertas Kerja
Idealisme & Intelektualiti dalam Karya (PENA, 2005)
TEGAK RUMAH KERANA SENDI
RUNTUH SENDI RUMAH BINASA
SENDI BANGSA IALAH BUDI
RUNTUH BUDI RUNTUHLAH BANGSA
BUKU-BUKU PUISI HA
PUSTAKA IQBAL NAZIM (Koleksi HA)
Di bawah ini buku-buku Guru dan Idolaku...
Bersama mama dan bapa (1962)
AKTIVITI HA
19 APRIL 2008: MESYUARAT AGUNG IPS KE-17 26 APRIL 2008: ZIARAH SASTERAWAN: DATUK HJ SHUHAIBUN YUSSUF 27 APRIL 2008: SEMINAR PEMIKIRAN AMIL JAYA 30 APRIL 2008: TAKLIMAT PENGHAYATAN SASTERA DAN BUDAYA 2 MEI - 4 MEI 2008: PROGRAM PENGHAYATAN SASTERA DAN BUDAYA DI KEM KUBENA SIPITANG [Dibatalkan] 5 MEI - 6 MEI 2008: PROGRAM PENGHAYATAN SASTERA DAN BUDAYA DI KEM TANAKI TAMBUNAN 7 MEI 2008: MENYAKSIKAN MALAM CITRA PUISI PPSB DI KEM WAWSAN KG OVAI PAPAR 6 JUN 2008: MAJLIS PENUTUPAN PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA SIRI 2/2008 DI KEM TANAKI TAMBUNAN 21 JUN 2008: CERAMAH KOMSAS DI SMK MEMBAKUT, SABAH 18 JULAI 2008: CERAMAH KOMSASM DI SMK NARINANG KOTA BELUD 25 - 28 JULAI 2008: LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE BALI INDONESIA
CERPEN HA ['Link'nya sedang dibina, maaf]
Memilih Diam
Kepala-Kepala Ekor Seberkas Idea Tentang Pohon Debu, Besi dan Sebuah Kebosanan Dicitrakan Tentang Sesuatu yang Melompat Bagai Dedalu Citra Tidak Berakhir di Sini Hanya Namanya Khartizah Sahabat Saya yang Hilang Seniman
Maruah Harith Jambatan Terbentang Tirus