SAMUDERA KESUSASTERAAN MELAYU:
ANTARA CABARAN DAN HARAPAN
SASTERA NEGERI DI BAWAH BAYU ¯
Oleh HASYUDA ABADI,
Ikatan Penulis Sabah, Kota Kinabalu.
3.2 Peranan agensi-agensi kerajaan
Agensi-agensi kerajaan pula harus lebih proaktif dan positif terhadap keperluan yang sepatutnya diberikan kepada individu serta kelompok seniman untuk melestarikan kegahan sastera dalam pembangunan negara. Pembangunan yang diwara-warakan tidak sewajarnya mengabaikan kehadiran nilai-nilai sastera. Misalnya ketika menyediakan perancangan bajet tahunan pembangunan negara hendaklah dipastikan bahawa pelestarian sahsiah bangsa juga perlu diberikan perhatian sama. Interaksi sosial harus lebih saksama di pelbagai peringkat dan pendekatan. Komuniti sastera merasa iri terhadap pemberian kemudahan yang berlebih-lebihan kepada aktiviti sukan dan kesenian memang bersifat klasik. Namun realitinya memang demikian kerana sastera bagaikan anak tiri yang sering dipinggirkan. Apa yang terjadi selama ini kegiatan sastera hanya berupa keperluan seadanya sahaja.
Begitu juga aktiviti penerbitan buku-buku yang bersifat ilmu dan juga kompilasi karya selain bahan-bahan bacaan popular perlu dijadikan program utama pihak-pihak yang berkaitan. Masalah besar di Sabah ialah ketiadaan penerbit yang benar-benar berwibawa dan memahami konsep penerbitan buku-buku bacaan yang sebenarnya. Kebanyakannya lebih menjurus kepada soal keuntungan semata-mata. Para penulis yang merancang menerbit dan mencetak karya mereka akan berhadapan dengan kos yang amat tinggi. Belum lagi berhadapan dengan masalah pemasaran yang bukan profesion mereka. Perpustakaan-perpustakaan tidak mungkin membeli buku-buku yang diterbitkan itu dengan jumlah yang besar.
Namun demikian Perpustakaan Negeri Sabah memberikan laluan terbaik kepada penulis-penulis Sabah memasarkan buku masing-masing. Begitu juga Perpustakaan Negara Malaysia menawarkan pembelian buku terus dengan penulis. Namun begitu berapa ramaikah penulis berkeupayaan mencetak buku dengan kos mereka sendiri? Satu-satunya penerbit yang mantap tentulah DBP. Bagaimanapun DBP mempunyai birokrasi yang perlu diikuti selain syarat-syarat yang ketat dan jumlah buku yang terhad untuk diterbitkan, misalnya DBP Sabah hanya menetapkan tidak kurang 10 buah buku sahaja setahun. Bagi merancakkan lagi senario penerbitan ini diharapkan ada syarikat-syarikat atau individu korporat tampil menghulurkan bantuan pembiayaan. DBP boleh dijadikan urus setia melalui unit penerbitannya menyelaras manuskrip-manuskrip para penulis. Ini termasuklah pelantikan penilai dan kerja-kerja penyuntingan.
Pendekatan yang paling baik ialah dengan mewujudkan jabatan penerbitan di bawah kendalian kerajaan Negeri. Jabatan ini akan bertindak mencari perolehan jangka panjang berkaitan bahan-bahan penerbitan daripada para penulis seluruh negeri. Peluang haruslah diberikan kepada semua warga penulis yang mampu membawa idea-idea bernas mengenai negeri Sabah menerusi pendekatan sastera yang sesuai. Ke arah pendekatan ini, MBSS yang sedia ada perlu dihidupkan semula dengan melantik barisan ahli majlis baru yang lebih berwibawa. Perancangan majlis ini seperti menubuhkan Akademi Karyawan Sabah dengan hasrat membina kumpulan penulis dan karyawan yang terlatih dan berilmu perlu difikirkan kembali. Menerusi akademi seperti ini gerakan sastera lebih terarah dan terancang.
Apresiasi sastera juga amat penting dilaksanakan misalnya dalam program yang sedia ada iaitu Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) yang dilaksanakan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Program ini bagaimanapun perlu dilihat sebagai usaha yang berterusan dan dengan komitmen yang paling tinggi. PPSB diperkenalkan pada tahun 2005 di bawah kelolaan DBP. PPSB menjadi salah satu lagi komponen tambahan latihan di kalangan para pelatih PLKN yang terdiri daripada belia dan beliwanis berusia 18 tahun. Bagaimanapun selepas empat siri berlangsung, PPSB semakin mengecil dari segi jumlah hari latihannya iaitu daripada 6 hari kepada 3 hari. Ini bermakna interaksi antara para pelatih dengan fasilitator memberi kesan yang besar ke arah keberkesanan program tersebut. Program ini kini seolah-olah menjadi aktiviti ad-hoc selain ada masanya terpaksa pula berkompromi dengan pihak kem PLKN ketika menentukan tarikh latihan. Jika ini tidak diatasi dan dikaji semula oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara dan DBP secara khusus, PPSB akan terkubur daripada hasrat dan matlamat asalnya iaitu antara lainnya "mendukung usaha Kerajaan untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan generasi muda Malaysia, menerapkan nilai-nilai murni untuk melahirkan generasi muda yang cergas, berwawasan dan berjiwa kental dan memupuk minat dan apresiasi terhadap sastera dan budaya di kalangan generasi muda."
Nilai-nilai patriotisme juga sering dikaitkan dengan aktiviti sayembara deklamasi puisi. Setiap tahun aktiviti ini dilaksanakan sebagai bahagian daripada program menyambut hari kemerdekaan. Namun demikian sayembara puisi yang diadakan setiap tahun kini kelihatan semakin hambar selepas Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia mengambil alih aktiviti ini daripada GAPENA. Di Sabah tanggungjawab ini disandarkan kepada Badan Bahasa Sabah (BAHASA) semasa pemilihan peringkat bahagian manakala di peringkat akhir dilaksanakan oleh KEKKWA Negeri. Sebelum ini DBP mampu menanganinya dengan cemerlang meskipun belum ada peserta Sabah mendapat sebarang tempat teratas kecuali pada tahun 2006 apabila Cikgu Dulamid Rudin menjuarainya di peringkat Nasional. Tujuan sayembara ini antara lain untuk menarik minat serta impak cintakan tanah air di kalangan rakyat sambil menampilkan bakat-bakat pendeklamasian puisi. Kita ingin melihat perkara kedua tujuan yang dimaksudkan iaitu berkaitan dengan pencungkilan deklamator puisi yang terbaik. Malangnya setiap tahun kita menyaksikan tokoh-tokoh pendeklamasi yang sama; yang membezakan mereka hanyalah kedudukan tempat dalam sayembara yang dianjurkan. Ada peserta yang hanya layak digelar 'juara kampung'. Dia mampu menampakkan 'taji' dalam gelanggang negerinya tetapi sentiasa tewas apabila berada dalam gelanggang yang lebih besar. Tiada peningkatan dilakukannya walaupun berada dalam gelanggang yang sama hampir setiap tahun sejak sayembara ini dianjurkan. Sudah sampai masanya, senario ini diubah. Pengurus aktiviti ini harus memandang lebih jauh ke hadapan bukan kembali ke belakang jika mahu menjadikan deklamasi puisi sebagai profesion yang diminati komunitinya. Kita percaya sekiranya segala perancangan dilakukan secara profesional sebarang kecatatan atau kelemahan masih boleh diatasi. Sekiranya aktiviti pengisian kemerdekaan ini dianggap sebagai 'kain perca' semata-mata gerakan sastera kita juga akan turut terjejas. Pelbagai tindakan boleh dilakukan oleh agensi-agensi yang dipertanggungjawsabkan. Mereka boleh melantik para mantan juara misalnya, sebagai fasilitator kepada bakat-bakat baru. Pengalaman mereka perlu dilebarkan lagi di samping berusaha mempelbagaikan kemahiran agar kegiatan seperti ini juga mampu menarik seluruh lapisan rakyat meminatinya.
3.3 Peranan media
Kita harus berani menyatakan bahawa para penulis Sabah masih mencari arah masing-masing. Mereka terus mencari pentas untuk memasyarakatkan karya mereka. Ruang muka surat media massa yang terhad menyebabkan penyaluran karya sastera bergerak lembab. Tidak ada ruang yang membolehkan penulis menyiarkan tulisan-tulisan mereka dalam genre lain misalnya kritikan atau rencana sastera. Pemikiran-pemikiran lateral sastera juga membantu menjana pembangunan minda masyarakat sejajar dengan pembangunan bangsa. Oleh yang demikian, penyiaran bahan-bahan sastera di media-media massa menerusi DBP wajar diteruskan dengan melebarkan lagi genre yang sedia ada. Para penulis di Sabah amat bertuah dengan terbitnya majalah Wadah dan Jendela Sabah oleh DBP. Kedua-dua media ini menjadi pemangkin penting bagi penyiaran karya-karya terbaik penulis-penulis Sabah.
Kewibawaan majalah-majalah yang disebutkan ini wajar dimantapkan lagi dengan meluaskan ruang dan peluang sebanyak mungkin bahan-bahan sastera disiarkan. Barangkali majalah-majalah ini boleh diubah daripada berbentuk berkala empat edisi setahun kepada penerbitan setiap bulan. Ini penting kerana bahan-bahan sastera harus diletakkan dalam sebuah wadah yang sesuai meskipun media surat khabar merupakan tradisi cetakan untuk bahan-bahan sastera berkenaan. Selain daripada itu ganjaran yang sewajarnya harus diberikan kepada para penulis sebagai penghargaan usaha mereka melahirkan khazanah fikrah yang berharga. Harapan ini sudah sering diutarakan agar semua media massa memberikan bayaran sagu hati kepada setiap karya yang disiarkan. Namun siapakah yang boleh menjanjikan pihak pengurusan media-media berkenaan untuk memahami tuntutan para penulis yang memang berhak mendapatkannya?
3.4 Peranan badan korporat dan swasta
Apakah peranan pihak korporat dalam usaha penjanaan sastera? Dalam konteks Sabah jawapannya jauh sekali. Mesra seni budaya tidak pernah terjadi dalam kalangan para korporat, demikian halnya dengan syarikat-syarikat gergasi minyak atau komunikasi yang beroperasi di Sabah. Sekiranya terserlah sedikit kesedaran mesra seni budaya ini, kita yakin pihak-pihak yang dimaksudkan mempunyai keupayaan melakukan anjakan yang memberi manfaat kepada penggiat-penggiat seni itu sendiri. Masalah pembiayaan merupakan masalah paling pokok dalam apa juga kegiatan sastera. Misalnya pementasan teater. Dengan dana yang kecil pementasan teater menjadi aktiviti ala kadar dan dalam sesetengah hal ia bertaraf asal jadi. Persoalannya ialah sampai bila perbuatan seadanya ini menjadi budaya para penggiat teater. Memaknakan produksi teater seharusnya diletakkan pada aras yang paling tinggi dan profesional; barulah perbincangan-perbincangan untuk memartabatkan teater meyakinkan pihak-pihak yang diajukan bantuan biaya. Semua kumpulan teater perlu memadukan perancangan dan buah fikiran daripada bertelagah menentukan grup atau kumpulan teater mana paling berupaya 'memiliki' pentas teater di Dewan Besar DBP Cawangan Sabah dalam projek Teater Perdana DBP yang diadakan sempena menyambut Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Sabah. Jika wujud kesepaduan idea dan perancangan ia merupakan satu lagi kekuatan ke arah mesra seni budaya di kalangan korporat dan syarikat-syarikat berkenaan.
4. PENUTUP
Mudah-mudahan sastera Melayu akan terus menyerlah, cemerlang, gemilang dan seterusnya terbilang tanpa sempadan zaman. Semua pihak harus menggerakkan potensi yang ada untuk merealisasikannya. Kepekaan, persiapan diri serta visi yang tersusun akan menentukan keberkesanan bidang sastera sebagai satu elemen penting dalam pembentukan masyarakat madani, iaitu masyarakat yang seimbang dari segi pencapaian ilmu dan materialnya. Paparan yang tergambar menerusi makalah ini terletak pada tangan dan gerakan kerja semua pihak yang diperkatakan. Jika sikap tidak peduli dijadikan pilihan, sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab terus diamalkan, maka segala cabaran dan harapan masa depan yang menjadi perdebatan itu hanya berupa kata-kata beku di atas kertas semata-mata.
Tugas dan agenda sastera memang tidak pernah ada noktahnya. Tugas-tugas pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera Melayu haruslah terus dimantapkan dan diusahakan dengan lebih gigih lagi di samping mengkaji segala kelemahan untuk kebaikan bersama. Budaya kerja dan budaya berfikir amat diperlukan untuk menjamin kemajuan kedua-dua budaya ini seiringan. Insya-Allah kemajuan dan kecemerlangan akan terserlah, sastera Melayu akan bertambah baik dan semakin kukuh. Secara tidak langsung penulis dan semua pihak yang saling berhubungan akan lebih dihormati, bermaruah dan berketrampilan sesuai dengan keindahan Negeri di Bawah Bayu.
25 Julai 2007
P U S T A K A I Q B A L N A Z I M
Kota Kinabalu S A B A H
© Hasyuda Abadi 2007
http://hasyuda-abadi.blogdrive.com
012-8330664
BIBLIOGRAFI
Abdullah Hussain, 2001. Perjalanan Mencari Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
A.Aziz Deraman, 2000. Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
A.Aziz Deraman, "Sastera Melayu dalam Konteks Pembinaan Negara". Kertas kerja Perkampungan Sasterawan di Beringgis Resort Papar, anjuran DBP Cawangan Sabah, Kota Kinabalu, 23 - 25 Ogos 2004.
Dr. Datu Bandira Datu Alang al-Haj (1999). Sasterawan: Nukleus Sosialisasi Masyarakat Alaf Baru. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.
Dr. Mohammed Haleem Haji Razi (1995). Budaya Ilmu: Ke Arah Pemantapannya di Kalangan Penulis di Sabah. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.
Hassan Ahmad (2002). "Budaya Ilmu". Imbasan (Edisi Kedua). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hasyuda Abadi, "Mencari Megakarya: Gagasan Generasi Baru". Kertas kerja Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Persatuan Penulis Nasional dan Persatuan Penulis Johor di Pontian Johor, 3 - 6 Jun 2005.
Irwan Abu Bakar. "Novel Popular dan Pembangunan Minda" dlm. Dewan Sastera, Februari 2007.
Jasni Matlani, "Quo Vadis Sastera Sabah?" dlm. Wadah, April 1999.
Jasni Matlani, "Suasana Perkembangan Sastera Melayu Mutakhir di Sabah" dlm. Wadah, Disember 2005.
Johan Jaaffar (1989). Sastera Malaysia untuk Dunia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Keris Mas. "Sastera Harus Mengangkat Darjat Manusia" dlm. Dewan Sastera, Oktober 1978.
Sapawi Haji Ahmad. "Wawancara: Ke mana Arah Sastera Sabah" dlm. Wadah, April 1999.
Zakaria Ariffin. "Industri Kreatif dan Peluang Kerjaya" dlm. Dewan Sastera, Jun 2007.
Posted at Saturday, April 14, 2007 by Hasyuda Abadi (HA)